Penghijrahan terawal orang-orang Cina bermula dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ia diketuai oleh Puteri Hang Li Po yang berkahwin dengan Sultan Mansor Syah .Puteri Hang Li Po yang diiringi seramai 500 orang pengikut telah bermastautin di Melaka. Ini merupakan pusingan pertama penghijrahan migran Cina di Tanah Melayu. Kesan peristiwa ini mewujudkan kelompok masyarakat peranakan Melayu- Cina iaitu hasil perkahwinan campur antara kedua-dua etnik tersebut. Mereka  ini dikenali sebagai kaum Baba dan Nyonya.
Baba dan Nyonya adalah segolongan keturunan kaum Gina yang unik kedudukannya dalam kalangan kaum Cina yang terdapat di Negeri-negeri Selat dan Tanah Melayu amnya (kini Malaysia),khususnya di negeri Melaka. Apabila Tanah Melayu dijajah oleh British pada awal abad ke-17,berlaku infirioriti kompleks di kalangan mereka. Sebahagian mereka enggan mengakui bahawa mereka adalah orang Cina tetapi sebaliknya mendakwa bahawa mereka adalah rakyat British dan amat berbangga dengan kedudukan ini. Tambahan pula, mereka mengeji pendatang-pendatang Cina yang baru dan mempunyai kelab tersendiri yang tidak membenarkan pendatang-pendatang Cina masuk.
Mereka memanggil diri mereka sebagai "Baba" atau "Peranakan" kerana kebudayaan mereka, yang berasal daripada warisan tradisi Cina, yang mempunyai unsur-unsur pengaruh kebudayaan Melayu. Penyesuaian dan resapan budaya mereka terhadap suasana sosio-budaya di persekitaran mereka dari zaman silam, iaitu melalui perkahwinan campur yang berlaku di antara kaum-kaum Cina dan Melayu, adalah punca utama mengapa generasi seterusnya memanggil mereka sebagai "Baba".
 Dari segi anutan, kebanyakannya masih mengekalkan agama Buddha, namun telah ramai yang memeluk agama lain seperti Islam atau Kristian. Setelah bermastautin di Tanah Melayu dan menjiwai kebudayaan Melayu akhirnya mereka ini menjadi sebahagian daripada kelompok masyarakat yang terdapat di Tanah Melayu.
Proses penghijrahan kedua yang paling penting melibatkan perpindahan secara besar-besaran adalah dalam sekitar abad ke- 19 dan ke-20. Ini  dipengaruhi oleh faktor penolak yang terdapat di negeri China iaitu masalah kemiskinan dan penderitaan hidup yang dihadapi oleh mereka di negara asal mereka. Ketidakstabilan ekonomi ditambah pula dengan suasana politik yang kucar-kacir seperti tercetusnya pemberontakan Taiping tahun 1857 di kawasan tengah dan selatan negara China memaksa mereka  melakukan penghijrahan keluar dari negara asal mereka. Fenomena ini ditambah pula dengan wujudnya suasana kepadatan penduduk yang berlebihan di kawasan selatan negara China, telah menimbulkan masalah kekurangan makanan dan kebuluran. Situasi ini mendorong mereka berhijrah keluar. Ini merupakan sebahagian daripada faktor penolak. Proses imigrasi diperkuatkan pula dengan adanya faktor penarik seperti peluang-peluang pekerjaan yang terbentang luas di Tanah Melayu.
Diikuti dan dipengaruhi pula oleh dasar pemerintahan Inggeris yang menggalakkan kemasukan kaum migran Cina untuk berniaga dan membuka kawasan-kawasan lombong bijih timah. Demi untuk memenuhi keperluan bahan mentah, Inggeris sedia menerima kemasukan kaum migran Cina tanpa mengambil kira pandangan dan juga perasaan masyarakat peribumi di Tanah Melayu.
Masyarakat Cina terbahagi kepada pelbagai puak berdasarkan dialek pertuturan mereka. Kalau ditinjau dari pola penghijrahan berdasarkan kelompok bahasa dan dialek, didapati bahawa mereka ini terdiri daripada kelompok bahasa Teochew, Kantonis dan Hailam yang berasal dari wilayah Kwangtung. Manakala Hokkien dari wilayah Fukien. Bagi mereka yang bertutur dalam dialek Hakka pula berasal dari wilayah Pergunungan Kwantung. Sebagai contoh taburan kependudukan bangsa Cina ialah penempatan kaum Cina di kawasan perlombongan sekitar bandar Ipoh ialah dari dialek Hakka. Bagi kawasan pelabuhan seperti Pulau Pinang, Telok Anson, Lumut di Perak dan Kelang, Selangor didiami pula dari dialek Hokkien. Manakala yang terlibat secara langsung dalam kegiatan ekonomi pertanian pula seperti penanaman tebu, lada hitam, dan gambir, taburan kependudukan Cina yang terdiri dari golongan dialek Teochew.
      Penghijrahan bangsa Cina ini menjadi begitu rancak sekali pada abad ke-20 kerana waktu itu pembukaan kawasan-kawasan lombong bijih timah dan minat pihak British yang memerlukan bahan tersebut serta kekurangan tenaga kerja sektor tersebut. Lantaran itu dasar British menggalakkan kaum Cina datang secara beramai-ramai demi memenuhi keperluan tenaga buruh dalam sektor perlombongan. Maka proses penghijrahan kaum Cina dilakukan melalui beberapa sistem, antaranya ialah melalui Sistem Tiket Kredit yang diusahakan oleh kelompok-kelompok Cina yang lebih dikenali sebagai kongsi gelap. Kaedah ini menimbulkan banyak masalah kerana melibatkan unsur-unsur yang tidak sihat. Kegagalan sistem ini yang tidak mengutamakan kebajikan para buruh Cina kemudiannya digantikan dengan Sistem Pengambilan Personel oleh majikan yang memerlukan tenaga buruh dan sistem pengambilan rumah kongsi apabila kerajaan Inggeris mula prihatin dalam hal-ehwal merekrut buruh-buruh Cina ini. Tidak harus diabaikan bahawa mereka ini datang dengan pelbagai latar belakang dan fahaman politik yang akhirnya dizahirkan. Abadke-20 di negeri China kedapatan dua aliran pemikiran politik yang mendominsi China waktu itu iaitu Parti Koumintang dan Parti Komunis China. Dua aliran fahaman yang sudah pasti menguasai pemikiran kaum migran yang berhijrah ke Tanah Melayu. Kemudian mencorakkan suasana politik di Tanah Melayu lebih menarik untuk dikaji dan diteliti.