sumber-online Merdeka

Kepentingan Dan Kebijaksanaan Menjaga Hubungan Bilateral Malaysia China

likeqiangjamuan6
Tarikh 31 Mei 2014 melengkapkan 40 tahun hubungan bilateral Malaysia Cina yang terjalin secara rasminya pada tahun 1974 yang lalu.

Hubungan yang disifatkan sebagai satu yang istimewa oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak ini akan membawa impak yang lebih positif dan besar kepada negara di masa hadapan terutamanya dari aspek ekonomi.

Selain daripada lawatan rasmi Perdana Menteri ke China sebagai simbolik kepada ulang tahun tersebut, Malaysia juga turut mengalu-alukan kedatangan dua ekor panda dari Chengdu, China sebagai simbol keakraban dan kemesraan dalam hubungan bilateral diantara Malaysia dan China.

Namun begitu, kedatangan Panda daripada China ini sedikit sebanyak mengundang persepsi yang negatif dan tidak tepat di kalangan sesetengah pihak.

Ada fakta dan persoalan yang perlu diperjelaskan bagi mengubah persepsi yang kurang penelitian dan fokus ini. Penjelasan itu akan dirungkai dari sudut hubungan diplomatik dan kepentingannnya kepada ekonomi Malaysia.

Jika kita melihat kepada sejarah jalinan hubungan diplomatik Malaysia China ini, ia bermula sebagai satu perjalanan yang tidak indah, kalau boleh diungkapkan sedikit sejarahnya di sini, ketika zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman.

Era komunisme begitu menebal di Tanah Melayu pada ketika itu, menyebabkan dasar Persekutuan Tanah Melayu lebih bersifat anti-komunis yang merujuk kepada negara Tanah Besar tersebut. Ini kerana era pemerintahan China pada ketika itu  dikemudi oleh Maoist atau Mao Zedong, di mana ideologi politiknya menjurus kepada komunisme.

Tambahan lagi, sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu berlaku pemberontakan secara gerila yang dilancarkan oleh pihak komunis di Tanah Melayu selepas pihak Jepun menyerah kalah pada Perang Dunia Kedua telah membawa kerosakan dan bencana kepada rakyat dan negara, hingga negara kita terpaksa diisytiharkan darurat pada 18 Jun 1948.

Namun begitu, hubungan diplomatik Malaysia China mula memasuki fasa pemulihan dan fasa baru jalinan hubungan diplomatik melalui Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak.

Seterusnya menjadi pencetus kepada inisiatif mengeratkan hubungan diplomatik diantara kedua-dua negara melalui pemimpin-pemimpin kemudiannya iaitu, Tun Dr. Mahathir Mohammad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak.

Panda dan Signifikan Hubungan Diplomatik Malaysia, China
PANDA_MALAYSIA_CHINA_210514_TMINAJJUA_01_540_362_100
Antara faktor utama Malaysia meminjam panda gergasi daripada China selama 10 tahun adalah untuk menarik tumpuan dan kunjungan pelancong berkunjung ke Malaysia amnya, khasnya ke Zoo Negara.

Kemungkinan tidak ramai yang dapat melihat impak kepada tarikan Panda, Fu Wa dan Feng Yi ini ke negara kita lantas konsep pembaziran itu menjadi nadi kepada topik perbualan semasa.

Kenyataan pembaziran itu sedikit kurang praktikal untuk diaplikasikan jika dilihat dari sudut hasil yang bakal diperolehi dari kunjungan pelancong untuk melihat panda di zoo negara.

Sebagai contoh, salah sebuah zoo yang mendapat manfaat hasil daripada meminjam panda daripada China iaitu, merujuk kepada laporan akhbar The Guardian, Zoo Edinburgh berjaya menerima jumlah pengunjung yang luar biasa dengan kehadiran panda Tian Tian dan Yang Guang.

Pemiliknya Royal Zoological Society Of Scotland mendedahkan pulangan keuntungan zoo telah meningkat lebih daripada RM27 juta kepada RM81 juta pada tahun 2012.

Kedatangan pengunjung meningkat mendadak 51% dengan kehadiran panda pada 2011. Zoo berkenaan yang mengalami defisit RM6.5 juta mencatatkan pulangan lebihan RM13 juta tahun lepas selepas ketibaan panda.

Ini pastinya bakal akan berlaku kepada Malaysia. Faktor Malaysia bukanlah kawasan habitat bagi haiwan panda dan ia hanya terdapat di kawasan Tengah Selatan China bakal merealisasikan interaksi empat mata para pengunjung tempatan dan antarabangsa yang datang dengan haiwan tersebut.

Berbeza dengan haiwan-haiwan yang terdapat di Malaysia, kekerapan masyarakat untuk bertemu dengan haiwan seperti Orang Utan, Hornbills, Bayau, tapir dan beberapa spesies haiwan lain adalah tinggi dan ia sudah menjadi satu kelaziman bagi masyarakat Malaysia.

Namun begitu, kehadiran panda ini bakal menjadi satu kelaziman baharu kepada masyarakat Malaysia untuk memahami gaya hidup dan rutin harian panda, yang tidak terdapat di Malaysia.

Kelebihan ini akan menjadi batu asas kepada zoo negara untuk memperoleh pendapatan dan modal pusingan bagi kekal menjadi pusat pameran haiwan terbesar di Malaysia serta membantu pertumbuhan ekonomi negara melalui lonjakan di sektor pelancongan.

Ekonomi dan Hubungan Malaysia China
syiling
Panda diplomasi adalah salah satu bentuk manifestasi keakraban dan kemesraan hubungan dua hala yang sebenarnya mempunyai dan membawa erti yang lebih besar dan luas dalam konteks hubungan antarabangsa.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia berfikiran global untuk memahami konteks politik dan ekonomi Malaysia lebih luas dan komprehensif.Ini kerana hubungan Malaysia China membawa impak yang penting terutamanya untuk sektor ekonomi negara.

Kedua-dua negara saling simbiosis antara satu sama lain kerana Malaysia adalah antara negara ASEAN yang merupakan penyumbang dagangan terbesar bagi negara Tanah Besar tersebut.

Ini turut diakui oleh China melalui Kedutaan China di Malaysia melalui saluran laman web kedutaan tersebut yang menggambarkan Malaysia sebagai rakan dagangan ASEAN terbesar China, dan masih mengekalkan posisinya selama 6 tahun berturut-turut sejak tahun 2008.

China mencatatkan jumlah dagangan dua hala tahun 2013 lebih daripada US $ 106 bilion (RM 340 bil), sebanyak 11.9% meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, jumlah mutual actual investment telah mencapai US $ 7.46bil (RM 23.9bil), serta direkodkan jumlah pelaburan China di Malaysia tahun lalu meningkat sebanyak 193.3%.

Ia semakin membawa manfaat dari tahun ke tahun, lebih-lebih lagi apabila Malaysia China menjalin kerjasama dengan menandatangani The Five Year Programme for Economic and Trade Cooperation pada Oktober 2013.

Persetujuan bersama ini menyimpulkan kerjasama kedua-dua negara dalam sektor pertanian, tenaga dan sumber mineral; informasi dan telekomunikasi; perkilangan, pembangunan, dan kejuruteraan; pelancongan, logistik dan peruncitan.

Kerjasama selama 5 tahun yang termetrai ini jelas menunjukkan betapa kepercayaan negara China terhadap Malaysia begitu utuh untuk menjalin hubungan ekonomi yang lebih rapat dan ampuh kini dan di masa hadapan.

Selain itu, People’s Republic of China melihat hubungan bilateral Malaysia China melalui kenyataan daripada Duta Besar Malaysia ke China, Huang Huikang, telah memasuki fasa yang lebih matang, bersefahaman dan pembangunan lebih komprehensif.

Kematangan yang dimaksudkan ini salah satunya dapat dilihat melalui projek Qingzhuo dan Kuantan Industrial Park yang telah dilancarkan masing-masing pada tahun 2012 dan 2013 sebagai satu kerjasama pelaburan diantara kedua-dua negara.

Pelaburan yang bakal membawa manfaat dan keuntungan kepada kedua-dua negara, di mana aliran pusingan wang akan sentiasa mapan di landasannya.

Selain dari aspek ekonomi yang menjadi tumpuan dalam hubungan bilateral ini, Malaysia China juga menitikberatkan perihal pendidikan.

Ini dapat dilihat melalui program pertukaran pelajar di mana lebih daripada 10 000 pelajar China menuntut di Malaysia dan pelajar Malaysia di China lebih daripada 6 000 pelajar.

Inisiatif pembangunan dan kerjasama pendidikan dapat juga dilihat melalui usaha pihak China untuk melancarkan cawangan pertama Universiti Xiamen di negara kita.

Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar dari kedua-dua negara untuk belajar dan memahami budaya dan kehidupan kedua-dua negara.

Banyak lagi bidang kerjasama yang bakal difokuskan dalam hubungan Malaysia China ini bagi membawa manfaat kepada kedua-dua negara di masa hadapan.

Kesimpulan
Kerjasama yang terjalin diantara kedua-dua negara jelas menunjukkan keutuhan hubungan yang dibina sejak 4 dekad lalu bakal menjadi lebih erat dan kuat di masa hadapan.

Pelbagai program dan perancangan akan bakal dilaksanakan lagi dalam meraikan 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia China, selain daripada menerima kehadiran panda gergasi ke Malaysia.

Antaranya ialah program China-Malaysia Islamic Culture Seminar yang bakal diadakan pada bulan Julai di Malaysia, dan pameran foto dan persembahan kebudayaan akan diadakan sepanjang tahun.

Kesimpulannya adalah, kehadiran panda gergasi ke Malaysia adalah satu signifikasi persahabatan dan membawa manfaat yang besar kepada ekonomi Malaysia dan secara langsung kepada hubungan dua hala Malaysia China.

Ia  menjadi manifestasi penerimaan kuasa besar di rantau Asia seperti negara China terhadap negara membangun seperti Malaysia dan membawa kepentingan dari segi imej dan perakuan kewujudan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mampu memberi saingan kepada negara-negara di dunia. -MO