Kepentingan Dan Kebijaksanaan Menjaga Hubungan Bilateral Malaysia China
Tarikh 31 Mei 2014 melengkapkan 40 tahun
hubungan bilateral Malaysia Cina yang terjalin secara rasminya pada
tahun 1974 yang lalu.
Hubungan yang disifatkan sebagai satu
yang istimewa oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak
ini akan membawa impak yang lebih positif dan besar kepada negara di
masa hadapan terutamanya dari aspek ekonomi.
Selain daripada lawatan rasmi Perdana
Menteri ke China sebagai simbolik kepada ulang tahun tersebut, Malaysia
juga turut mengalu-alukan kedatangan dua ekor panda dari Chengdu, China
sebagai simbol keakraban dan kemesraan dalam hubungan bilateral diantara
Malaysia dan China.
Namun begitu, kedatangan Panda daripada
China ini sedikit sebanyak mengundang persepsi yang negatif dan tidak
tepat di kalangan sesetengah pihak.
Ada fakta dan persoalan yang perlu
diperjelaskan bagi mengubah persepsi yang kurang penelitian dan fokus
ini. Penjelasan itu akan dirungkai dari sudut hubungan diplomatik dan
kepentingannnya kepada ekonomi Malaysia.
Jika kita melihat kepada sejarah jalinan
hubungan diplomatik Malaysia China ini, ia bermula sebagai satu
perjalanan yang tidak indah, kalau boleh diungkapkan sedikit sejarahnya
di sini, ketika zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman.
Era komunisme begitu menebal di Tanah
Melayu pada ketika itu, menyebabkan dasar Persekutuan Tanah Melayu lebih
bersifat anti-komunis yang merujuk kepada negara Tanah Besar tersebut.
Ini kerana era pemerintahan China pada ketika itu dikemudi oleh Maoist
atau Mao Zedong, di mana ideologi politiknya menjurus kepada komunisme.
Tambahan lagi, sekurang-kurangnya dalam
tempoh dua minggu berlaku pemberontakan secara gerila yang dilancarkan
oleh pihak komunis di Tanah Melayu selepas pihak Jepun menyerah kalah
pada Perang Dunia Kedua telah membawa kerosakan dan bencana kepada
rakyat dan negara, hingga negara kita terpaksa diisytiharkan darurat
pada 18 Jun 1948.
Namun begitu, hubungan diplomatik
Malaysia China mula memasuki fasa pemulihan dan fasa baru jalinan
hubungan diplomatik melalui Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak.
Seterusnya menjadi pencetus kepada
inisiatif mengeratkan hubungan diplomatik diantara kedua-dua negara
melalui pemimpin-pemimpin kemudiannya iaitu, Tun Dr. Mahathir Mohammad,
Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak.
Panda dan Signifikan Hubungan Diplomatik Malaysia, China
Antara faktor utama Malaysia meminjam
panda gergasi daripada China selama 10 tahun adalah untuk menarik
tumpuan dan kunjungan pelancong berkunjung ke Malaysia amnya, khasnya ke
Zoo Negara.
Kemungkinan tidak ramai yang dapat
melihat impak kepada tarikan Panda, Fu Wa dan Feng Yi ini ke negara kita
lantas konsep pembaziran itu menjadi nadi kepada topik perbualan
semasa.
Kenyataan pembaziran itu sedikit kurang
praktikal untuk diaplikasikan jika dilihat dari sudut hasil yang bakal
diperolehi dari kunjungan pelancong untuk melihat panda di zoo negara.
Sebagai contoh, salah sebuah zoo yang
mendapat manfaat hasil daripada meminjam panda daripada China iaitu,
merujuk kepada laporan akhbar The Guardian, Zoo Edinburgh berjaya
menerima jumlah pengunjung yang luar biasa dengan kehadiran panda Tian
Tian dan Yang Guang.
Pemiliknya Royal Zoological Society Of
Scotland mendedahkan pulangan keuntungan zoo telah meningkat lebih
daripada RM27 juta kepada RM81 juta pada tahun 2012.
Kedatangan pengunjung meningkat mendadak
51% dengan kehadiran panda pada 2011. Zoo berkenaan yang mengalami
defisit RM6.5 juta mencatatkan pulangan lebihan RM13 juta tahun lepas
selepas ketibaan panda.
Ini pastinya bakal akan berlaku kepada
Malaysia. Faktor Malaysia bukanlah kawasan habitat bagi haiwan panda dan
ia hanya terdapat di kawasan Tengah Selatan China bakal merealisasikan
interaksi empat mata para pengunjung tempatan dan antarabangsa yang
datang dengan haiwan tersebut.
Berbeza dengan haiwan-haiwan yang terdapat di Malaysia, kekerapan masyarakat untuk bertemu dengan haiwan seperti Orang Utan, Hornbills, Bayau, tapir dan beberapa spesies haiwan lain adalah tinggi dan ia sudah menjadi satu kelaziman bagi masyarakat Malaysia.
Namun begitu, kehadiran panda ini bakal
menjadi satu kelaziman baharu kepada masyarakat Malaysia untuk memahami
gaya hidup dan rutin harian panda, yang tidak terdapat di Malaysia.
Kelebihan ini akan menjadi batu asas
kepada zoo negara untuk memperoleh pendapatan dan modal pusingan bagi
kekal menjadi pusat pameran haiwan terbesar di Malaysia serta membantu
pertumbuhan ekonomi negara melalui lonjakan di sektor pelancongan.
Ekonomi dan Hubungan Malaysia China
Panda diplomasi adalah salah satu bentuk
manifestasi keakraban dan kemesraan hubungan dua hala yang sebenarnya
mempunyai dan membawa erti yang lebih besar dan luas dalam konteks
hubungan antarabangsa.
Sudah tiba masanya rakyat Malaysia
berfikiran global untuk memahami konteks politik dan ekonomi Malaysia
lebih luas dan komprehensif.Ini kerana hubungan Malaysia China membawa
impak yang penting terutamanya untuk sektor ekonomi negara.
Kedua-dua negara saling simbiosis antara
satu sama lain kerana Malaysia adalah antara negara ASEAN yang
merupakan penyumbang dagangan terbesar bagi negara Tanah Besar tersebut.
Ini turut diakui oleh China melalui
Kedutaan China di Malaysia melalui saluran laman web kedutaan tersebut
yang menggambarkan Malaysia sebagai rakan dagangan ASEAN terbesar China,
dan masih mengekalkan posisinya selama 6 tahun berturut-turut sejak
tahun 2008.
China mencatatkan jumlah dagangan dua
hala tahun 2013 lebih daripada US $ 106 bilion (RM 340 bil), sebanyak
11.9% meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Selain itu, jumlah mutual actual investment telah mencapai US $ 7.46bil (RM 23.9bil), serta direkodkan jumlah pelaburan China di Malaysia tahun lalu meningkat sebanyak 193.3%.
Ia semakin membawa manfaat dari tahun ke
tahun, lebih-lebih lagi apabila Malaysia China menjalin kerjasama
dengan menandatangani The Five Year Programme for Economic and Trade Cooperation pada Oktober 2013.
Persetujuan bersama ini menyimpulkan
kerjasama kedua-dua negara dalam sektor pertanian, tenaga dan sumber
mineral; informasi dan telekomunikasi; perkilangan, pembangunan, dan
kejuruteraan; pelancongan, logistik dan peruncitan.
Kerjasama selama 5 tahun yang termetrai
ini jelas menunjukkan betapa kepercayaan negara China terhadap Malaysia
begitu utuh untuk menjalin hubungan ekonomi yang lebih rapat dan ampuh
kini dan di masa hadapan.
Selain itu, People’s Republic of China melihat
hubungan bilateral Malaysia China melalui kenyataan daripada Duta Besar
Malaysia ke China, Huang Huikang, telah memasuki fasa yang lebih
matang, bersefahaman dan pembangunan lebih komprehensif.
Kematangan yang dimaksudkan ini salah satunya dapat dilihat melalui projek Qingzhuo dan Kuantan Industrial Park yang telah dilancarkan masing-masing pada tahun 2012 dan 2013 sebagai satu kerjasama pelaburan diantara kedua-dua negara.
Pelaburan yang bakal membawa manfaat dan
keuntungan kepada kedua-dua negara, di mana aliran pusingan wang akan
sentiasa mapan di landasannya.
Selain dari aspek ekonomi yang menjadi
tumpuan dalam hubungan bilateral ini, Malaysia China juga
menitikberatkan perihal pendidikan.
Ini dapat dilihat melalui program
pertukaran pelajar di mana lebih daripada 10 000 pelajar China menuntut
di Malaysia dan pelajar Malaysia di China lebih daripada 6 000 pelajar.
Inisiatif pembangunan dan kerjasama
pendidikan dapat juga dilihat melalui usaha pihak China untuk
melancarkan cawangan pertama Universiti Xiamen di negara kita.
Program seperti ini memberi peluang
kepada pelajar dari kedua-dua negara untuk belajar dan memahami budaya
dan kehidupan kedua-dua negara.
Banyak lagi bidang kerjasama yang bakal
difokuskan dalam hubungan Malaysia China ini bagi membawa manfaat kepada
kedua-dua negara di masa hadapan.
Kesimpulan
Kerjasama yang terjalin diantara
kedua-dua negara jelas menunjukkan keutuhan hubungan yang dibina sejak 4
dekad lalu bakal menjadi lebih erat dan kuat di masa hadapan.
Pelbagai program dan perancangan akan
bakal dilaksanakan lagi dalam meraikan 40 tahun hubungan diplomatik
Malaysia China, selain daripada menerima kehadiran panda gergasi ke
Malaysia.
Antaranya ialah program China-Malaysia Islamic Culture Seminar yang bakal diadakan pada bulan Julai di Malaysia, dan pameran foto dan persembahan kebudayaan akan diadakan sepanjang tahun.
Kesimpulannya adalah, kehadiran panda
gergasi ke Malaysia adalah satu signifikasi persahabatan dan membawa
manfaat yang besar kepada ekonomi Malaysia dan secara langsung kepada
hubungan dua hala Malaysia China.
Ia menjadi manifestasi penerimaan kuasa
besar di rantau Asia seperti negara China terhadap negara membangun
seperti Malaysia dan membawa kepentingan dari segi imej dan perakuan
kewujudan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mampu memberi
saingan kepada negara-negara di dunia. -MO
0 comments: